Kerajaan Sarawak Sedia Bantu Bangunkan Sektor Penanaman Padi Di Pulau Bruit
Disiarkan pada 22 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS

DARO: Kerajaan Sarawak menyatakan kesiapsiagaan mereka untuk membantu membangunkan industri penanaman padi di kawasan Pulau Bruit yang mempamerkan potensi besar dalam pengeluaran beras pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak sememangnya sudah memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan membangunkan padi di seluruh Sarawak termasuk peruntukan berjumlah RM1 bilion kepada Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).
“Saya mengambil maklum permintaan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol mengenai potensi tanaman padi di Pulau Bruit.
“Kalau benar mahu menanam padi, kita di Kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan penuh, dengan syarat ianya haruslah dilaksanakan sepenuh hati dan bukannya separuh jalan, kemudiannya ditinggalkan,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Perasmian Jambatan Muara Lassa di sini pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kaedah penanaman dan penuaian padi masa kini, jauh lebih mudah malah dalam masa yang sama meningkatkan produktiviti tanaman dengan memanfaatkan teknologi sedia ada.
“Sekarang ini, tiada lagi kaedah gali lubang untuk menanam padi, tetapi menggunakan mesin sepertimana yang telah saya cuba di Gedong, di mana penanaman padi untuk tanah seluas satu hektar hanya mengambil masa 50 minit sahaja.
“Hasilnya telah dibuktikan di Meradong dan Gedong apabila menggunakan teknologi, hasil pengeluaran beras kita melonjak ke sembilan tan untuk satu hektar tanah,” ujar beliau lagi.
Terdahulu semasa berucap ringkas dalam majlis yang sama, Datuk Abdullah memaklumkan bahawa Pulau Bruit mempunyai potensi yang besar dalam pengeluaran sumber makanan berasaskan tanaman dan hasil laut, sekaligus mensasarkan kawasan ini sebagai antara pengeluar makanan terbesar untuk Sarawak. -EDISI UKAS