Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

Kerajaan Perkasa Infrastruktur Matu-Daro di Bawah RMK12

Disiarkan pada 22 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS



DARO: Kelulusan 10 projek infrastruktur di daerah Matu dan Daro di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bukti kukuh agenda pembangunan di luar bandar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan projek-projek melibatkan peruntukan sebanyak RM803.6 juta ini sekali gus menjadi pemacu utama dalam meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Katanya, kerajaan komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih mampan dan menyeluruh di kawasan luar bandar, sejajar dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

“Sejak tahun 2017, kerajaan telah merancang pelaksanaan jalan raya luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Kini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diberi mandat untuk melaksanakan projek jalan raya bernilai RM30 bilion di seluruh negeri Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jambatan Muara Lassa, Daro Mukah yang disempurnakan oleh Premier Sarawak di sini pada Sabtu.

Beliau menambah, daripada 10 projek yang diluluskan di bawah RMK12 untuk daerah Matu dan Daro, dua projek infrastruktur bernilai RM30.9 juta telah siap, manakala tiga projek sedang dalam pembinaan dengan kos keseluruhan RM104.3 juta.

Jelasnya, empat lagi projek bernilai RM295.4 juta akan ditender pada tahun ini, sementara satu projek utama berjumlah RM371 juta turut dijadualkan untuk tender tahun ini.

“Semua projek ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat, bukan sahaja dalam aspek kemudahan pengangkutan tetapi juga dalam merancakkan aktiviti ekonomi.

“Dengan siapnya rangkaian jalan raya dan jambatan, rakyat tidak lagi perlu bergantung kepada perkhidmatan feri, sekali gus menjimatkan masa dan meningkatkan aksesibiliti ke kawasan lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan projek-projek mega ini adalah hasil daripada kesatuan dan sokongan rakyat serta keprihatinan kepimpinan negeri yang berusaha memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasakan.

“Kita bersyukur mempunyai pemimpin seperti YAB Premier Sarawak yang sentiasa bekerja keras membela nasib rakyat.

“Dengan sokongan padu daripada rakyat dan komitmen kerajaan, Sarawak akan terus maju pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Tambahnya lagi, projek-projek pembangunan ini dijangka memberi impak besar kepada ekonomi tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memastikan pembangunan luar bandar di Sarawak bergerak seiring dengan arus kemodenan.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman