IPD Mukah, Pusat Khidmat Masyarakat P.213 Mukah Imarahkan Sambutan Ramadan
Posted on 22 Mar 2025
Source of News: UKAS

MUKAH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat P.213 Mukah dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Jariah Komuniti Kampung Kuala Lama telah menganjurkan Program Pengagihan Nasi Briyani Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 218 bertempat di Dewan Seri Pekala, Kampung Kuala Lama, Mukah baru-baru ini.
Program Memasak Nasi Briyani dimulai seawal jam 8 pagi oleh ahli Pertubuhan Kebajikan dan Amal Jariah Komuniti Kampung Kuala Lama dan proses membungkus nasi briyani bermula jam 11 pagi dibantu oleh Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam dan ahli PERKEP IPD Mukah.
Program pengagihan diteruskan pada jam 3 petang yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias bertempat di Jalan Utama Hadapan Dewan Seri Pekala, Kampung Kuala Lama, Mukah.
Sebanyak 800 bungkus nasi briyani berjaya diagihkan kepada pengguna jalanraya dan penduduk kampung yang melalui laluan berkenaan.
Objektif program ini bertujuan berkongsi rezeki kepada masyarakat setempat di samping memupuk amalan bersedekah di bulan Ramadan yang mulia ini.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Sailie, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pegawai Khas Pusat Khidmat Parlimen P.213 Mukah Almalhakim Norshidi, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Jariah Komuniti Kuala Lama Mukah Hamden Morshidi serta Ketua Kampung Kuala Lama Mukah KK Junaidi@Yakub Usop. - EDISI UKAS