MATU: Penduduk Kampung Jemoreng, Matu kini berdepan dengan isu banjir luar kebiasaan yang memberi kesan berpanjangan akibat limpahan air yang berterusan sejak awal tahun ini ditambah dengan keadaan yang membimbangkan apabila kawasan yang jarang dinaiki air sebelum ini, termasuk Jalan Utama Kampung Jemoreng-Bawang, turut terjejas.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) Datuk Dr Juanda bin Jaya berkata, limpahan air dari kawasan tersebut menyebabkan air bertakung di sekitar Kampung Jemoreng, sekali gus menjejaskan aktiviti harian penduduk.
“Ia dikenalpasti berpunca dari limpahan air dari kawasan sekitar Passin dimana terdapat ladang dibuka disana dan air memasuki parit bahu jalan projek jalan Jemoreng-Passin dan mengalir ke arah Kg Jemoreng, Matu,” katanya demikian selepas lawatan dan tinjauan ke Jalan Jemoreng-Passin dan sekitar Kg Jemoreng pada Rabu.
Bagi menangani isu ini, beberapa langkah telah dicadangkan, termasuk perbincangan dengan pihak ladang di kawasan Passin untuk memastikan aliran air dari ladang dapat disalurkan terus ke Sungai Batang Lassa.
Selain itu, sistem aliran parit bahu jalan Projek Jalan Jemoreng-Passin akan disusun semula supaya aliran air lebih sekata di kedua-dua arah, manakala parit sepanjang Jalan Utama Kampung Jemoreng, termasuk pembentung dan parit-parit kecil, akan dibersihkan bagi mengelakkan masalah takungan. -EDISI UKAS