Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

Ibu Bapa Diseru Sokong Anak-anak Kejar Kecemerlangan Akademik, Sahsiah

Disiarkan pada 20 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Ibu bapa diseru agar terus memberi sokongan kepada anak-anak dalam mengejar kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang mampu mengubah masa depan keluarga dan masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup serta ekonomi.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang mampu membawa perubahan besar kepada masa depan keluarga dan masyarakat. Kita mahu melihat lebih ramai anak-anak dari Daro berjaya dalam pelbagai bidang,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 bertemakan 'Raya Serumpun' yang berlangsung meriah di Kampung Tebaang, Daro pada Sabtu.

Dalam ucapannya juga, beliau memaklumkan bahawa bermula tahun 2026, Kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat negeri ini.

Selain itu, bantuan pendidikan sebanyak RM15,000 akan diperuntukkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah proaktif Kerajaan Sarawak dalam memastikan tiada anak negeri tercicir dalam mengejar impian akademik mereka.

Safiee turut menyatakan bahawa Kampung Tebaang tidak pernah ketinggalan dalam arus pembangunan

Antara projek yang sedang berjalan termasuk pembinaan Masjid Baru Kampung Tebaang bernilai RM5 juta serta bangunan baharu Sekolah Rendah SK Tebaang Daro bernilai RM15 juta.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan dana berjumlah RM18,000 kepada JKKK Kampung Tebaang Hulu & Hilir dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Solihin, sebagai sokongan terhadap aktiviti pembangunan komuniti setempat.

Sebelum majlis berlangsung, Safiee sempat merasmikan Projek Naiktaraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) Kampung Tebaang Daro yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan peruntukan sebanyak RM220,000.

Majlis turut dihadiri Ketua Kampung Tebaang Hulu, Encik Jaapar Rasdi; Ketua Kampung Tebaang Hilir, Encik Liman Shahjuan serta Pengerusi JKP Masjid Darul Solihin, Kr. Adykuniawan Abdullah. -EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman