Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

CENTEXS Lahir Tenaga Kerja Mahir, Insan Beretika

Disiarkan pada 19 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


 
MUKAH: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Mukah bukan sahaja berfungsi sebagai pusat latihan teknikal dan kemahiran, tetapi juga sebagai agen penghubung antara kemajuan dan nilai-nilai kemanusiaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak & Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato' Sri Fatimah Abdullah berkata, selain melatih tenaga kerja mahir, CENTEXS juga melahirkan insan yang beretika, berdaya saing yang mampu membawa perubahan kepada komuniti masing-masing.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam bidang Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, saya amat berbangga dengan usaha CENTEXS dalam memperkasakan generasi muda kita melalui latihan teknikal berteraskan industri masa hadapan.

“Melalui pendekatan inovatif dan kolaborasi bersama pemain industri, CENTEXS bukan sahaja melatih tenaga kerja mahir, tetapi juga melahirkan insan yang beretika, berdaya saing dan berjiwa besar - yang mampu membawa perubahan kepada komuniti masing-masing.”

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri CENTEXS Mukah & Dalat 2025 di Dewan Serbaguna CENTEXS Mukah pada Sabtu.

Katanya, Mukah dan Dalat adalah antara kawasan yang memiliki potensi besar dalam bidang pembangunan sumber manusia, khususnya dalam bidang kemahiran.

Malah CENTEXS Dalat ujarnya terkenal dengan usaha melestarikan warisan budaya, terutama melalui Program Teknologi Fesyen yang menggabungkan elemen pakaian tradisional dan moden.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan berita baik mengenai pembinaan CENTEXS Dalat yang dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini dan menawarkan pelbagai program menarik termasuk penubuhan Pusat Bahasa di Dalat.

“Diharapkan pusat ini mampu menjadi platform untuk anak-anak kita memperkukuhkan penguasaan dalam pelbagai bahasa seperti Melanau, Inggeris, Mandarin dan lain-lain,” tambah Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan penting CENTEXS dalam mendepani cabaran Sarawak sebagai negeri penuaan menjelang tahun 2028 melalui pelaksanakan program Certificate in Training for Elderly Caregivers (TREC).

Program ini katanya bertujuan melatih individu dalam pelbagai bidang kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Langkah persediaan itu sangat penting untuk mengatasi cabaran ini dengan memperkukuhkan sistem sokongan bagi warga emas melalui penjagaan di rumah dan akses kepada bantuan perubatan dengan lebih cepat dan efisien.

“Pada masa yang sama, ia turut menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih komprehensif, sekaligus menjadikan Sarawak lebih bersedia menghadapi perubahan demografi yang akan berlaku,” tambah Dato Sri Fatimah.

Turut hadir ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Tellian Royston Valentine dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman. - EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman