Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

Kaul Mukah Platform Tingkatkan Ekonomi Penduduk

Disiarkan pada 27 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS

 

MUKAH: Sambutan Kaul Mukah bukan sekadar acara untuk menghormati adat resam kaum Melanau, malah menjadi platform kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan taraf ekonomi.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, penganjuran gerai jualan sempena Kaul Mukah membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk-produk mereka.

“Oleh itu, masyarakat tempatan haruslah menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.

“Kita berharap semoga lebih ramai lagi pengunjung dari luar kawasan Mukah akan datang ke Pesta Kaul ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis ‘Keman’ Kaul 2025 yang diadakan di Tapak Kaul, Pantai Kala Dana, di sini, pada Ahad.

Lebih istimewa, ‘Keman’ Kaul yang membawa maksud Majlis Makan Kaul pada tahun ini diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang berkenan hadir untuk bersama-sama ‘berambeh’ dengan masyarakat di Mukah.

Mengulas lanjut, Dato Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah menjelaskan signifikan majlis ini adalah untuk membentuk platform baharu bagi mengukuhkan keharmonian dan menyemai semangat perpaduan antara pemimpin dan rakyat.

“Majlis ‘Keman’ Kaul pada pagi ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan meraikan hubungan erat antara pemimpin bersama rakyat, khususnya masyarakat di Bahagian Mukah,” ujar beliau.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh. -EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman