Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

KMKK Pemangkin Penyampaian Dasar Kerajaan Di Peringkat Akar Umbi

Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS



DARO: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu terus memainkan peranan aktif sebagai ejen penyampaian dasar kerajaan dan penghubung utama antara rakyat dan pihak kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, keberkesanan KMKK dalam menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat maklumat yang tepat dan jelas.

Beliau turut menyeru agar segala projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan masing-masing diterangkan dengan telus kepada penduduk kampung agar mereka faham, menyokong dan mendapat manfaat secara menyeluruh.

“Pengerusi dan ahli KMKK mesti sentiasa turun padang, memberi penerangan tentang pembangunan, dan menangkis sebarang salah faham yang mungkin timbul di kalangan penduduk kampung.

“Ini penting agar rakyat tidak hanya menjadi pemerhati, tetapi turut merasa memiliki dan memahami hala tuju pembangunan kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sijil Perkhidmatan kepada KMKK Daerah Daro bagi kawasan DUN Daro di Pejabat Daerah Daro di sini, pada Khamis.

Safiee juga menekankan keperluan untuk mengaktifkan semula peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung.

“Jentera JKKK perlu digerakkan secara menyeluruh dan berfungsi sebagaimana yang sepatutnya.

“Setiap ahli JKKK mesti memainkan peranan yang aktif dalam urusan pembangunan, keselamatan, kemasyarakatan dan kebajikan penduduk kampung,” tambah beliau lagi.-EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman