Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Komitmen Kerajaan Pastikan Rakyat Luar Bandar Tidak Tercicir Nikmati Kemudahan Asas

Posted on 01 Aug 2025
Source of News: UKAS



IGAN: Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan rakyat di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada menikmati kemudahan asas yang berkualiti dan menyeluruh.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya menegaskan, usaha memperluas akses kepada kemudahan seperti bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi adalah antara agenda penting di bawah pembangunan inklusif Sarawak Maju Makmur.

Berucap ringkas semasa sesi taklimat khas berkenaan perkhidmatan utiliti bagi Daerah Matu dan Daerah Kecil Igan di Dewan Masyarakat Igan pada Khamis, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut menekankan kepentingan komunikasi dua hala antara agensi kerajaan dan rakyat, khususnya dalam menyampaikan maklumat serta menangani isu berkaitan perkhidmatan awam.

“Interaksi amat penting. Sekiranya ada laporan daripada penduduk, agensi berkenaan perlu respon. Begitu juga sebaliknya.

“Laporan dengan maklumat yang tepat amat penting untuk memudahkan bantuan dari pihak berkaitan,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) telah mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air di daerah berkenaan.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau pelaksanaan projek-projek bekalan air yang telah, sedang dan akan dilaksanakan, di samping mengenal pasti keperluan penambahbaikan terhadap kemudahan sedia ada.

Melalui lawatan ini, para KMKK turut diberi peluang melihat sendiri operasi loji rawatan air serta memahami secara lebih dekat peranan dan fungsi sistem bekalan air yang disediakan oleh kerajaan.

Sesi taklimat khas yang diadakan selepas lawatan itu turut memberi penjelasan komprehensif mengenai status semasa dan perancangan perkhidmatan utiliti di kawasan ini yang melibatkan tiga agensi utama iaitu JBALB, Sarawak Energy Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Antara taklimat yang disampaikan termasuk Taklimat Bekalan Air Daerah Igan oleh Jurutera Air Bahagian JBALB Mukah Abang Ismail Abang Selim, taklimat Bekalan Elektrik Daerah Igan oleh Pengurus Bahagian Mukah, Sarawak Energy Berhad Samuel Tang Wei dan Taklimat Perkhidmatan Telekomunikasi Daerah Igan oleh Pengarah Kanan SKMM Wilayah Sarawak Adiman Ajem.

Kira-kira 70 peserta terdiri daripada KMKK dan penduduk sekitar menghadiri sesi taklimat tersebut yang menjadi platform penting menyampaikan maklumat terkini mengenai usaha kerajaan dalam memperkasa kemudahan asas rakyat luar bandar.

Lawatan ini menzahirkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, wakil rakyat serta masyarakat tempatan dalam memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat.-EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman