MUKAH: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus komited memperkasa pendidikan dan peluang pekerjaan menerusi penganjuran Program Jerayawara “Project of Dream Realized” (ProDR) yang kini memasuki edisi ke-10.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Abdul Yaakub Arbi menegaskan bahawa ProDR adalah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan menyokong usaha kerajaan negeri untuk melahirkan 500,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.
“Program seperti ProDR penting dalam memperkasa belia luar bandar dengan pendedahan awal kepada bidang pendidikan, latihan teknikal dan kemahiran yang relevan dengan keperluan masa depan,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian program tersebut di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, pada Jumaat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak TEGAS dan semua rakan strategik yang menjayakan program berimpak tinggi ini, serta berharap agar lebih banyak inisiatif serupa diperluaskan ke kawasan Mukah dan sekitarnya.
Program ProDR edisi kali ini melibatkan siri jelajah ke 14 lokasi seluruh Sarawak dalam tempoh 31 hari, dengan penyertaan lebih 31 institusi pendidikan dan agensi kerajaan, membuka peluang kepada pelajar dan belia luar bandar untuk mengenali pelbagai laluan kerjaya dan bidang kemahiran.
Turut dilancarkan dalam program ini ialah ‘Think & Tinker’ (T&T) Mini Lab di SMK Mukah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Parish Balingian, iaitu ruang pembelajaran digital berasaskan STEM yang merangkumi modul seperti ‘MicroBit for Beginner Workshop’, ‘Arduino Basics 101’, ‘Drone Programming’, ‘Exploring mBot Robotics’ dan banyak lagi.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang.-EDISI UKAS
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026). Banci Ekonomi 2026 (BE2026) merupakan banci ke-6 yang dilaksanakan setiap lima tahun sekali sejak tahun 2000.
Banci ini bertujuan untuk mengumpul data yang komprehensif meliputi keseluruhan aktiviti ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan borong dan runcit.
Pelaksanaan BE2026 turut merangkumi pertubuhan perniagaan serta pertubuhan tidak berasaskan keuntungan. Data yang dikumpulkan akan menjadi sumber rujukan penting sebagai nadi ekonomi rakyat dan asas dalam merancang pembangunan negara yang lebih berkesan serta mampan.