Seni Budaya Tradisional Wadah Perpaduan Masyarakat
Disiarkan pada 01 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS

DARO: Penganjuran pertandingan tarian tradisi sempena Pesta Daro 2025 bukan sekadar hiburan semata-mata, malah menjadi medium penting dalam usaha memartabatkan warisan budaya serta memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, seni dan budaya tradisional seperti tarian warisan Melanau perlu terus diperkenalkan kepada generasi muda agar tidak luput ditelan zaman.
“Kita mahu golongan muda bukan sahaja mengenali budaya sendiri, malah bangga dengan warisan yang kita miliki. Ini penting dalam membentuk jati diri dan menyemai semangat cintakan budaya,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Tarian Tradisi Melanau di Pentas Utama Pesta Daro, di sini pada Rabu.
Safiee turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang telah mempamerkan usaha gigih dan semangat tinggi dalam memartabatkan budaya tempatan.
Pertandingan Tarian Tradisi Melanau telan disertai sebanyak lapan pasukan keseluruhan, merangkumi tiga pasukan dari kategori sekolah dan lima pasukan kategori dewasa, yang mempersembahkan tarian mengikut elemen keaslian gerak tari, pemakaian tradisional, muzik iringan dan keselarasan persembahan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan khas daripada pasukan juara, yang mempersembahkan tarian Melanau dengan iringan alat muzik tradisional, mencuri tumpuan para penonton yang memberikan tepukan gemuruh.
Penganjuran pertandingan ini adalah antara pengisian utama dalam Pesta Daro 2025, yang bukan sahaja menghiburkan, malah berperanan sebagai medium pendidikan budaya dan pengukuhan perpaduan komuniti setempat.
Hadir sama dalam majlis itu ialah, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Matu Daro Daniel Paulus, Kaunselor Mohd Suffian Fauzi dan Presiden Persatuan Melanau Matu Daro, Dayang Rohayah Awg Yahod.-EDISI UKAS