Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

Berita

 

Kebakaran Belukar Mukah: Agensi digerakkan, Usaha Pemadaman dipertingkatkan

Disiarkan pada 31 Jul 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Kebakaran belukar yang berlaku di kawasan belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah dan berhampiran Lapangan Terbang Mukah semakin membimbangkan, mendorong Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah mengadakan satu Mesyuarat Khas bagi menyelaras tindakan segera.

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Pentadbiran Baru Kerajaan Sarawak Mukah pada Rabu itu dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik.

Turut serta ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh.

Dalam mesyuarat tersebut, Datu Buckland telah mengarahkan agar semua agensi berkaitan menambah keanggotaan serta memperhebatkan operasi pemadaman yang sedang dijalankan.

Beliau turut memaklumkan bahawa helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan segera digerakkan bagi melaksanakan operasi pengeboman air (water bombing) di kawasan terjejas.

“Langkah segera ini perlu bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan kritikal seperti institusi pendidikan dan lapangan terbang,” katanya.

Sementara itu, Royston sebelum ini telah turun padang meninjau kawasan terjejas dan menyumbangkan dua set pam air bagi membantu usaha memadam kebakaran.

Usaha ini turut disokong oleh pekebun tempatan yang menyediakan lima lagi set pam air bagi mempercepat proses pemadaman.

Mesyuarat khas ini turut dihadiri wakil-wakil daripada pelbagai agensi keselamatan dan pengurusan bencana bagi memperkukuh koordinasi dan respons segera terhadap insiden ini.

Pihak berkuasa juga menyeru orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang insiden kebakaran kepada jabatan berkaitan bagi mengelak keadaan bertambah buruk.-EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman