Pentadbiran Bahagian Mukah

Mukah Maju, Rakyat Sejahtera

News

 

Projek Jalan Di Igan Telan Belanja RM37.8 Juta Kini Bermula

Posted on 01 Aug 2025
Source of News: UKAS


MATU: Projek pembinaan Jalan Igan, Kampung Bahru, Kampung Sungai Kebuaw (Jalan Kampung Sah, Sungai Ilas) kini bermula secara rasmi dengan penyerahan tapak kepada kontraktor pelaksana.

Majlis penyerahan tapak tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya di sini pada Jumaat.

Projek berimpak tinggi yang dilaksanakan di bawah Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak ini menelan kos RM37.8 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh 30 bulan, bermula 18 Julai 2025 hingga 17 Januari 2028.

Projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan meningkatkan akses jalan raya dan mempercepat pembangunan infrastruktur luar bandar yang lain di kawasan ini.

Sejurus selepas majlis itu, beliau turut meneruskan lawatan kerja ke beberapa lokasi lain bagi meninjau kemajuan projek-projek infrastruktur yang sedang berjalan di kawasan sekitar Matu.

Antaranya termasuk Projek Rakyat Cadangan Jalan Kampung Kebuaw / Telok Deloh / Bungan Kecil yang kini giat dilaksanakan.

Projek ini dijangka memberi impak positif kepada jaringan perhubungan luar bandar serta membantu merangsang ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Seterusnya, beliau melawat ke Projek Cadangan Pembinaan dan Penyiapan Jalan dari Kampung Jemoreng ke Sungai Passin, Matu sebagai sebahagian daripada pemantauan berterusan pihak kerajaan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mengikut spesifikasi.

Lawatan berakhir di Projek Pembinaan Jalan Raya Kampung Seberang Bawang, melibatkan Kampung Hilir Bawang dan Kampung Hulu Bawang, Matu.

Pemantauan lapangan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan projek-projek infrastruktur luar bandar dilaksanakan secara telus, teratur dan berkualiti, demi kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman.-EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman