Perutusan Pegawai Daerah
Pengunjung laman web Pejabat Daerah Daro yang dihormati, Selamat melayari laman web Pejabat Daerah Daro. Terima kasih diucapkan kepada tuan-puan kerana sudi meluangkan masa untuk bersama kami. Untuk makluman tuan-puan, maklumat-maklumat mengenai Pejabat Daerah Daro dan Daerah Daro dipaparkan dalam bentuk yang agak ringkas. Bagaimanapun, kami komited untuk sentiasa mengemaskinikan Laman Web ini dari semasa ke semasa dengan paparan,informasi dan pendekatan yang lebih segar dan bermaklumat untuk rujukan pihak tuan-puan. Semoga usaha ini dapat dilaksanakan secara konsisten dalam usaha memperkenalkan Daerah Daro. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas segala rahmat dan keizinanNya dapatlah kita menyempurnakan Pelan Strategik Pejabat Daerah Daro bagi 5 tahun (2017-2021). Sesebuah organisasi perlu terus bergerak ke hadapan sesuai dengan tuntutan zaman, keadaan dan masyarakat yang menjadi sasarannya. Organisasi yang tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan persekitaran yang berubah akan menjadi jumud dan akhirnya menjadi tidak relevan. Untuk menjadi relevan, organisasi perlu menjadi organisasi yang belajar sepanjang hayat. Maksudnya, belajar harus menjadi sebahagian daripada tugas dan budaya yang sentiasa disemarakkan. Kakitangan organisasi dari atas ke bawah hendaklah sentiasa bersikap dinamik, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai integriti yang tinggi. Kita perlu memenuhi impian dan harapan ‘stakeholders’ kita. Kita hanya akan dapat memainkan peranan dengan berkesan dan memenuhi matlamat jika kita mengutamakan sikap mesra pelanggan, sentiasa berdaya saing, mengamalkan sistem kerja yang dapat diterima oleh semua. Sehubungan dengan itu, kita perlu mengamalkan budaya dan etika kerja yang positif dengan menekankan aspek merakyatkan Perkhidmatan Awam dengan meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kita kepada rakyat. Tidak banyak gunanya jika prasarana sahaja bagus, tetapi perkhidmatan yang diberikan kurang berkualiti dan tidak banyak menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan organisasi. Kita perlu berusaha keras untuk memastikan jabatan kita dapat memenuhi impian dan harapan pelanggan kita. Kita hendaklah menyediakan perkhidmatan yang berkualiti yang dapat memuaskan hati dan kehendak mereka. Perkhidmatan dan ‘produk’ berkualiti, akan dapat dicapai jika kecacatan dan kelemahan dalam perkhidmatan dan ‘produk’ berkenaan dapat diminimumkan. Kita tidak mempunyai banyak pilihan. Pilihan kita adalah untuk terus berjuang demi memenuhi visi kita untuk menjadi jabatan yang berwibawa dan komited ke arah pembentukan organisasi gemilang bertaraf dunia. Dengan menyedari hakikat bahawa kita perlu berubah dan menaikkan penanda aras, maka Pejabat Daerah Daro telah mengadakan bengkel perancangan strategik bagi memetakan strategi, program dan aktiviti yang sesuai dalam tempoh lima tahun akan datang. Sesuai dengan tuntutan semasa, pejabat ini juga merumuskan petunjuk prestasi utama (KPI). KPI yang menjadi pengukur prestasi bukan sahaja membolehkan pihak pengurusan mengenal pasti punca utama timbulnya pelbagai isu pada peringkat operasi, tetapi akan memberi arah yang jelas kepada semua kakitangan dalam menuju matlamat masing-masing. Kakitangan akan dapat mengetahui tugas dan tanggungjawab yang menjadi keutamaan mereka berdasarkan misi, visi, dan strategi jabatan. Kakitangan bukan sahaja perlu faham akan peranan dan tanggungjawab masing-masing, tetapi keperluan mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Saya percaya semua kakitangan akan terus dapat dirangsangkan untuk mencapai matlamat masing-masing dan matlamat jabatan. Dalam proses tersebut, jalinan kerjasama dan komunikasi dalam kalangan pihak pengurusan dan semua staf akan dapat diperkukuh. Sesungguhnya, sistem kerja yang mengutamakan prestasi yang tinggi, meliputi aspek kualiti, disiplin, komitmen mendalam, integriti dan akauntabiliti harus membudaya dalam organisasi. Jadi, kita perlu sama-sama berusaha untuk memupuk dan mengukuhkan budaya kecemerlangan bagi membolehkan kita mencapai matlamat yang digariskan. Kita perlu sentiasa meningkatkan penanda aras dalam jabatan kita. Untuk itu, hendaklah terus berusaha menjadi ‘a learning organization’ dengan menerokai dan mengamalkan amalan yang terbaik daripada dalam jabatan kita sendiri dan juga daripada pihak lain bagi mencapai prestasi yang lebih baik pada masa yang akan datang. Survival kita bergantung pada keupayaan kita untuk berubah dengan cepat, menyesuaikan diri dengan bijak, mengekalkan kelebihan kompetitif, serta memupuk, memperkembangkan dan mengurus budaya prestasi tinggi dengan berkesan. Untuk itu, kita dituntut menerokai dan mengamalkan strategi dan teknologi yang mampu mentransformasikan jabatan kita. Yang lebih penting, saya mengharapkan dengan adanya perancangan strategik dan KPI yang telah ditentukan itu, semua kakitangan komited dan akan terus berusaha untuk menyumbang kepakaran masing-masing bagi kejayaan jabatan agar akhirnya jabatan menjadi ikon kebanggaan semua yang berjaya membangunkan organisasi yang cemerlang. Sekian, Terima Kasih. |
|
BUJANG RAHMAN BIN SELI PEGAWAI DAERAH DARO |